Panduan Membeli Nama Domain Untuk Laman Web

Dalam proses membina sebuah laman web, antara perkara utama yang anda perlukan adalah sebuah nama domain atau “domain name”. Nama domain adalah nama dimana laman web anda berada dan boleh dilayari contohnya monakas.com, kualalumpur.com, airasia.com dan sebagainya. Nama domain adalah sesuatu yang amat penting, jadi pastikan anda memilih nama domain yang sesuai dengan laman web yang bakal anda bina. Berikut adalah perkara yang akan saya terangkan mengenai proses pembelian nama domain dari awal hingga akhir:

  1. Asas pendaftaran nama domain
  2. Perkara yang anda perlukan untuk membeli nama domain
  3. Domain name registrar atau pendaftar nama domain
  4. Apa selepas nama domain
  5. Tips membeli nama domain

Asas Pendaftaran Nama Domain

Untuk mendapatkan nama domain anda perlu mendaftar nama tersebut dengan sebuah organisasi bernama ICANN dan proses ini dilakukan melalui syarikat pendaftar atau registrar. Kebiasaannya apa yang anda perlu lakukan untuk mendapatkan nama domain adalah dengan melakukan pendaftaran dengan syarikat pendaftar atau registrar ini. Secara asasnya apabila anda mendaftarkan nama domain, anda akan dikenakan bayaran pendaftaran (antara 7USD – 11USD bergantung kepada syarikat pendaftar dan promosi yang diadakan) dan anda perlu perbaharui pendaftaran ini setiap tahun. Ini bermakna nama domain tersebut adalah milik anda selagi anda membayar bayaran tahunan bagi domain itu. Anda juga boleh membuat bayaran untuk beberapa tahun serentak jika anda mahu contohnya anda boleh membuat bayaran untuk tempoh 3 tahun,5 tahun dan sebagainya.

Terdapat berbagai variasi untuk akhiran nama domain seperti .com .net .org .biz .info .edu dan sebagainya, pastikan anda memilih nama akhiran yang sesuai dengan laman web anda. Sesiapa sahaja boleh membeli nama domain samaada individu atau syarikat. Untuk syarat membeli nama domain Malaysia i.e .com.my .my .net.my .edu.my dsb sila rujuk post ini.

Perkara yang di perlukan untuk membeli nama domain

  1. Kad kredit/debit atau akaun Paypal sekiranya anda membeli nama domain dari pendaftar di luar Malaysia
  2. Sekiranya anda membeli dari syarikat di Malaysia, kebiasaannya anda juga boleh membuat bayaran melalui online banking dan bank transfer
  3. Salinan Kad pengenalan (boleh scan) – bagi pendaftaran domain .my
  4. Salinan Sijil Pendaftaran Syarikat – bagi pendaftaran domain berakhir .com.my .net.my
  5. Alamat email – untuk menerima status pembelian
Senarai Pendaftar Nama Domain “Registrar”
Berikut disenaraikan antara pendaftar yang popular
Luar Malaysia 
  1. GoDaddy.com
  2. Register.com
  3. Namecheap.com
  4. Netfirms.com
  5. 1and1.com
Di Malaysia
  1. Exabytes.com
  2. Internet-webhosting.com
  3. DataKL.com
  4. Shinjiru.com
  5. ServerFreak
  6. Lain-lain. Dapatkan senarai reseller nama domain di http://mynic.my/en/reseller-list.php
Berapa Harga Nama Domain
Harga sebuah nama domain bukanlah sesuatu yang tetap dan dipengaruhi beberapa faktor antaranya:
  • Akhiran nama domain – contohnya domain berakhir dengan .com, .net dan .org berharga antara RM30 hingga RM40 manakala domain berakhir dengan .my berharga antara RM90 hingga RM120. Banyak lagi nama domain dengan akhiran yang berbeza mempunyai harga yang berlainan.
  • Promosi – Kebiasaannya terdapat promosi yang dilakukan oleh syarikat hosting yang menawarkan harga domain yang murah atau percuma dengan pembelian pakej hosting dari mereka.
  • Promosi dari registrar sendiri seperti MYNIC yang menawarkan potongan sehingga 50% bagi menyambut tahun baru, ulangtahun dan sebagainya.
Apa Selepas Pembelian Nama Domain
Nama domain sahaja secara sendiri tidak dapat berfungsi secara sepenuhnya. Selepas memiliki nama domain anda memerlukan web hosting atau server untuk meletakkan nama domain tersebut supaya ianya boleh dicapai menerusi internet. Sekiranya anda membeli nama domain secara terus dari pendaftar, anda perlu mengintegrasikan nama domain tersebut dengan server atau hosting anda. Sekiranya anda membeli nama domain dan hosting dari syarikat yang sama, integrasi ini akan dilakukan oleh syarikat tersebut secara automatik.
Tips Pembelian Nama Domain
  1. Seelok-eloknya anda beli nama domain anda terus dari pendaftar atau registrar. Ini kerana apabila anda membeli dari pendaftar maka anda mempunyai akses penuh atas nama domain tersebut dan anda boleh mengawalnya sendiri. Kebiasaannya syarikat hosting ada menyediakan khidmat pendaftaran nama domain, jadi pastikan anda memilih syarikat hosting yang berwibawa dan dipercayaai untuk mengelakkan anda mungkin kehilangan nama domain (jika syarikat hosting tidak beroperasi).
  2. Pastikan anda simpan segala maklumat transaksi pembelian domain anda ditempat yang selamat dan mudah diingati. Sekiranya anda membeli terus dari pendaftar, pastikan anda menyimpan maklumat pembelian dan maklumat nama domain yang disertakan bersama-sama email selepas pembelian. Lebih elok lagi jika anda “print” email tersebut dan simpan di tempat selamat supaya mudah untuk dirujuk kemudian.
  3. Berhati-hati apabila ada tawaran nama domain yang murah seperti 0.5USD, 1USD dan sebagainya untuk satu domain kerana kemungkinan bayaran pembaharuan adalah lebih mahal dari sepatutnya atau ada terma-terma lain yang tersembunyi.
  4. Pastikan anda ingat tarikh pembaharuan tahunan(letak di diari,calendar, handphone dsb) dan tidak melewatkan pembayaran kerana anda mungkin akan kehilangan nama domain tersebut. Sekiranya anda tidak membuat pembayaran pembaharuan, kebiasaannya selepas 1 hari domain tidak diperbaharui, ia akan berada disituasi  ”park domain” dimana laman web anda tidak dapat diakses, pendaftar kemudian akan memberikan tempoh 30 hari sebelum nama domain tersebut boleh dibeli oleh pihak lain(bergantung kepada pendaftar)

Kesimpulan

Proses membeli nama domain bukanlah sesuatu yang sukar dan terlalu teknikal jadi jangan risau untuk membeli nama domain anda sendiri. Sekiranya terdapat masalah, pastikan anda mendapat bantuan dengan menghubungi bahagian “support” dan kebiasaannya pertanyaan akan dijawan dalam masa 24jam.  Apabila membeli nama domain, pastikan anda membeli dari syarikat yang berwibawa dan dipercayaai. Lakukan sedikit kajian atau survey tentang syarikat tersebut atau tanya dengan rakan yang pernah membuat pembelian.

Related posts:

Tips Memilih Nama Domain Untuk Perniagaan
Mynic Sale 30% Diskaun Nama Domain .MY
Bagaimana Membina Website atau Laman Web
Panduan Membeli Nama Domain Untuk Laman Web
7 votes, 4.86 avg. rating (97% score)

No comments.

Leave a Reply


6 − two =